Hanyalah kata-kata saya...

Pementasan Intan yang Tercanai sudah pun tamat kira-kira dua minggu yang lalu. Mungkin pada ketika ini ramai yang sudah terlupa tentang Intan yang Tercanai. Namun mungkin juga masih ada sisa-sisa ingatan dan kenangan tentang Intan yang Tercanai yang masih tersimpan kemas. Sisa ingatan dan kenangan yang pahit atau manis, terserahlah kepada yang menontonnya. Walau apa-apa pun keadaannya, saya di sini hanya ingin memberikan pandangan yang tidak seberapa.

Ramai yang sudah maklum naskhah Intan yang Tercanai ialah naskhah Sasterawan Negara Dato' Noordin Hassan. Sudah gelaran pun sasterawan negara, naskhahnya pun pastilah bukan calang-calang. Naskhah ini menuntut penontonnya untuk banyak berfikir dan mentafsir. Melihat pada tajuknya pun, pasti sudah ada banyak soalan yang hendak ditanyakan.

Intan dalam cerita ini ialah watak seorang perempuan bernama Ungku Intan Anis. Selain itu, Intan pada sisi yang lain ialah seketul batu yang sangat berharga. Intan hanya berharga setelah dicanai atau dibentuk, sekiranya tidak, Intan hanya seketul batu yang sama seperti batu-batu yang lain, tidak bernilai.

Mengapa naskhah ini dinamakan Intan yang Tercanai? Adakah berkaitan tentang watak seorang perempuan yang bernama Intan seperti yang digambarkan oleh penulisnya sebagai seorang perempuan yang luar biasa atau pun analogi daripada sebutir Intan yang telah dicanai atau dibentuk sehingga menjadi sesuatu benda yang berharga?

Pada pengamatan saya, penulis melihat ciri-ciri intan yang telah tercanai ada dalam diri Ungku Intan Anis. Ungku Intan Anis bukanlah gadis biasa. Ungku Intan Anis seumpama sebutir intan yang telah tercanai dengan cantik dan hebatnya. Ungku Intan Anis sebagai seorang gadis yang kuat agamanya (menjadi ahli tasauf pada usia yang muda), pintar akalnya, mempunyai kecantikan yang tersendiri, berbudi pekerti yang mulia serta bertoleransi dengan agama-agama lain. Hal ini dapat dilihat apabila Ungku Intan Anis datang untuk melihat Danial Sundaram, sahabatnya mengangkat Kavadi. Kedatangan Ungku Intan Anis telah menerbitkan satu perasaan yang halus di jiwa Danial Sundaram tanpa diduga.

Secara analoginya, sebutir Intan yang cantik itu sudah tentulah memantulkan cahaya kemilauan yang menyilaukan mata sesiapa yang memandangnya. Begitu jugalah yang berlaku kepada Ungku Intan Anis. Cahaya yang dibawanya itulah telah menyuluhkan jalan Islam kepada Danial Sundaram. Tanpa dipaksa apatah lagi disuruh, Danial telah memeluk agama Islam. Begitulah hebatnya cahaya sebutir Intan mampu memancarkan sinar dan serinya.

Berbalik kepada pentafsiran, ya masing-masing mempunyai tafsiran mereka sendiri. Peristiwa Danial mengangkat Kavadi dan kejadian di terowong al-muaysam bukanlah untuk menunjukkan perbandingan agama. Juga bukan untuk menghina mana-mana agama. Peristiwa mengangkat Kavadi dan kejadian di terowong al-muaysam hanyalah sebahagian daripada plot cerita, iaitu Ungku Intan Anis walaupun seorang perempuan yang warak, namun masih terbuka dan menghormati perayaan agama-agama lain. Malahan beliau turut serta ketika merayakan agama tersebut selagi tidak bercanggah dengan agama Islam. Kejadian di terowong al-muaysam pula telah menyebabkan kehilangan/kematian Ungku Intan Anis. Pada ketika itu, timbullah persoalan-persolan yang menuntut kita merenung dalam-dalam diri kita. Disebabkan sikap kita yang mementingkan diri sendiri itulah yang menyebabkan banyak jemaah yang terkorban dalam peristiwa itu sedangkan semasa peristiwa mengangkat Kavadi masing-masing boleh bertolak ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Mengapakah begitu jadinya? Marilah kita berfikir serasionalnya.

Diakhir cerita Danial yang berusaha mencari Ungku Intan Anis di Makkah tetap tidak bertemu dengan sahabatnya itu. Namun, walaupun Intan tidak ditemuinya namun cahaya Intan itu tetap terus memancar di jiwanya. Danial kini bernama Danial Mubarak Abdullah. Danial pasrah, dia tidak mampu mencari yang tersurat, namun diyakininya pasti ada disebalik yang tersirat.

Demikianlah cerita Intan yang Tercanai. Sebuah naskhah yang sederhana namun ada hikmahnya. Mungkin ada yang mempersoalkan teater fitrah Noordin Hassan ini tidak tercanai dengan baik. Pada saya, cahayanya mungkin kecil tetapi sinarannya memancar dihati. Semoga ada manfaat untuk kita semua. Ini hanyalah kata-kata saya.

Comments

Popular posts from this blog

Sasterawan Negara Dato' Noordin Hassan

Pengarah "Intan yang Tercanai" - A. Wahab Hamzah

Teater Fitrah - Noordin Hassan