Pengarah "Intan yang Tercanai" - A. Wahab Hamzah




A.Wahab Hamzah mula bergiat dengan Kumpulan Teater Badan Budaya DBP sejak mula berkhidmat dengan DBP. Bermula dengan teater "Zaman Gerhana" (1986) dan "Salina" (1986), beliau mula menimba pengalaman pertama dengan memberikan tumpuan kepada aspek penataan cahaya.

Drama pentas yang bertajuk "Teman" (1993) ialah drama arahan pertamanya bersama-sama dengan Zakaria Ariffin. Seterusnya, beliau bergiat secara aktif dalam bidang pementasan teater hingga kini. Antara teater di bawah arahannya ialah "Sungai Mengalir Lesu" (1997), "Pesona Sastera Al-Amin" (2000), "Telegram" (2001), "Monodrama Hering" (2002), "Fragmen drama Karam" (2004), "Hering" (2004) dan "Suria di Cordiba" (2006).

Penglibatannya dalam dunia teater tidak terhad dalam bidang pementasan sahaja, tetapi pernah terpilih menjadi panel penilai untuk pelbagai pertandingan di peringkat kebangsaan. Beliau pernah terlibat dengan Festival Filem Malaysia (Kategori Filem Cereka dan Filem Pendek), menjadi panel juri Sri Angkasa, Bahagian Drama TV, panel juri Anugerah Skrin TV3, panel juri Anugerah Sastera Johor, Sarawak dan negeri Sembilan, juri Peraduan Menulis Skrip Filem Cereka anjuran Finas, panel penilai Hadiah Penulisan Skrip Drama Pentas Berunsur Islam dan panel penilai Hadiah Menulis Skrip Drama TV Berunsur Islam anjuran IKIM.

Selain terlibat dalam pementasan teater dan pertandingan-pertandingan sastera, beliau turut menulis skrip drama pentas dan TV, serta menjadi Penerbit Eksekutif drama-drama TV yang diadaptasi daripada novel seperti "Seteguh Karang", "Mufarakah", "Cahaya pada Jiwa", "Hujan Sudah Teduh", "Senja Kala", "Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur", "Jaringan", Lepaskan Kembali Aku Ke Laut, "Sangeetha" dan "Cerita Adam" yang disiarkan oleh TV Malaysia.

Beliau yang juga dikenali sebagai seorang pengkritik filem dan teater tanah air pernah memenangi Hadiah Trofi Samad Idris untuk kritikan filem terbaik (2003 & 2006). Selain itu juga A. Wahab Hamzah pernah dianugerahkan dengan Anugerah Tinta Kencana oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Comments

Popular posts from this blog

Sasterawan Negara Dato' Noordin Hassan

Teater Fitrah - Noordin Hassan